Friday, September 26, 2008

Hujan Yang Cinta Bintang.

Apalah yang dia suka sangat main bola sepak ni. Aku tak faham betul. Bola yang sebiji tu, sampai berbelas-belas orang rebut. Hujan dahlah makin lebat. Dia ni tak nak balik ke?
“Abu! Kau tak nak balik ke? Hujan dah lebat ni!”
Abu cekak pinggang tengok aku. Muka merah tahan marah. Baju lencun dimakan hujan. Rambut berserabai, basah.
“Aku tengah lawanlah, bodoh! Kau nak balik, baliklah dulu!”
Cengkaman tangan aku di payung jadi erat tiba-tiba. Geram, dia cakap aku bodoh. Depan ramai orang. Yelah, aku panggil dia balik sebab nanti ibu dia jugak yang risau. Nanti aku jugak yang kena. Dah lah dia main bola ni pun senyap-senyap. Malas aku nak tunggu dia lagi. Tak kuasa.
“Athirah, jomlah kita balik. Diorang tu budak-budak laki. Tak apa balik lepas maghrib.”
Aku menoleh pandang Intan di sebelah aku. Intan dan Abu adalah kawan aku yang paling akrab dengan aku sekarang. Aku tak ada kawan lain dah. Aku dah kawan dengan Abu dari kecil, dari umur aku setahun. Intan pulak, aku baru aje kawan bila aku naik darjah lima ni.

Aku akur dengan pelawaan Intan. Tak peduli dengan Abu yang masih lagi ligat menendang bola, aku teruskan perjalanan ke rumah. Biar padan dengan muka dia~

Athirah Karmila, masuk!!”
Terkejut sekejap aku dengar suara ibu terpekik tiba-tiba di pintu utama rumah. Laju-laju kaki aku berlari anak menuju dia.
“Anak dara hapa ni, maghrib-maghrib baru nak ingat rumah?!”
Aku tutupkan payung hijau yang sedari tadi mengembang menadah air dan tunduk masuk ke dalam rumah. Ada aku dengar ibu membebel sebut nama Abu, tapi, ah biarlah! Dia yang kata aku bodoh tadi kan.

Malam-malam Jumaat macam ni, kelas mengaji Tok Husin selalunya mula lebih awal. Jadi aku pun bersiap awal. Dari ekor mata aku waktu aku sedang sarungkan tudung, aku nampak kelibat Abu berdiri kat muka pintu bilik aku.

“Eh, Athirah! Kenapa kau tak tunggu aku tadi?”
Aku berhenti menyarung tudung dan menghadap dia. Telinga Abu merah. Mesti kena pulas dengan ibu.
“Kau yang suruh aku balik dulu kan?”

Abu mendekati aku. Dengan jersi biru basah kuyupnya. Dengan rambut serabai-masainya. Dengan muka marahnya, berlumpur.
“Aku main-main ajelah. Itupun kau percaya?”
“Mestilah aku percaya. Dah kau halau aku. Lepas tu kau cakap aku bodoh pulak tu!”
“Tirah, mana ada aku pernah cakap kau bodoh. Itu aku main-main. Sorry yek?”

Alah. Muka kesian dia tu. Mata redup dia tu. Lesung pipit dia tu. Selalu buat aku memaafkan.

Walaupun aku masih lagi sebelas tahun, belumpun cecah akil baligh, tapi aku tau hubungan aku dengan Abu ada batasnya. Ibu selalu larang Abu masuk bilik aku, dan aku pun sama, tak boleh masuk bilik Abu. Ya, kami serumah, sebab ibu Abu dan ibu aku tu adik beradik angkat. Rapat tersangat. Ayah kami dah lama tak ada.

“Abu, baik kau keluar. Nanti ibu marah lagi. Merah lagi telinga kau nanti.”
Abu tersenyum. Lesung pipitnya nampak di pipi kanan.
“Betul kau dah maafkan aku?”
“Betul..tapi kalau kau cakap bodoh dengan aku lagi, goodbye!”
“Eleh, goodbye konon. Kalau matematik tak boleh buat, cari aku jugak..”
ABU FARHAH!”
Melompat sama aku dan Abu dengarkan suara ibu yang bercekak pinggang di muka pintu.
“Kan ibu suruh mandi tadi..eee...degilnya budak ni..!!”

Merah lagi telinga Abu malam tu. Macam merahnya mata aku hari ni, lima tahun kemudian. Puas aku menangis.

Semenjak awal Subuh tadi, sebelum aku sarung telekung untuk sembahyang Subuh, ibu dah gamit-gamit telapak tangan memanggil aku.
“Athirah, meh kejap, ibu nak cakap sikit.”
Aku mendekati ibu yang baru sudah mengambil wuduk. Ibu bawa lengan aku untuk duduk atas katilnya.
“Kenapa, bu?”

Ibu menarik nafas dalam-dalam. Terkumat-kamit mulutnya menyusun kata-kata. Wajah diraup. Sekali. Dua kali. Tiga kali.
“Kenapa ni, bu?”
Ibu menoleh pandang mata aku. Dalam. Berenang. Lemas.
“Ibu rasa, dah sampai masanya kita berpindah rumah.”

Aku ternganga. Terbiar kosong. Bila suara imam mengaji terdengar dari corong masjid, barulah aku tersedar. Barulah ibu bersuara balik.

“Dahlah tu, pergi Subuh. Jangan fikirkan sangat. Nanti ibu uruskan hal pindah-randah ni.”

Siang itu, pukul tujuh setengah, aku ke sekolah dengan mata merah. Menangis. Bengkak-bengkak sampai setiap orang yang pandang muka aku, berbisik-bisik.

“Athirah!”
Aku tersentak sekejap bila bahu aku ditepuk kuat. Muka Abu setia tersenyum di sebelah kanan aku. Abu sekarang dah lebih tinggi dari aku, Rambut dia pun semakin panjang tapi dia peduli apa.
“Oh, pergi sekolah dah tak ajak aku sekarang...” tangan Abu mula naik ke bahu kiri aku.
“Abu, tangan tu turun! Nanti cikgu nampak karang. Ini bukan rumah.”
Abu menurut, tapi menjeling.
“Alah, kau ni. Kenapa pagi-pagi dah garang tak tentu pasal?”
Aku serba-salah nak beritahu Abu. Kalau aku beritahu dia yang aku nak pindah, dia boleh terima ke?
“Tak ada apalah.”
“Tipu ni...ada apa-apa ni.....”
“Tak adalah!!”
Aku berlari anak. Pergi dari dia, tuju ke tandas. Cari sinki dan menangis lagi. Bukan Abu yang tak boleh terima kalau aku pindah. Aku yang tak boleh. Aku. Aku dan Abu tak boleh dipisahkan. Macam aku dengan Intan yang entah mana sekarang. Aku kemana-mana mesti Abu ada. Hidup aku dah sebati dengan nama Abu Farhah Faruqi. Kalau dia tak ada, aku nak teruskan hidup macam mana?

Aku dan dia bukannya cinta. Aku hujan, dan dia bintang. Tak mungkin boleh berdiri di langit yang sama, kan? Abu kacak, pemain bola sepak daerah, yang bencikan hujan sebab buatkan permainannya lambat. Abu punya ramai peminat. Abu, lelaki enam belas tahun yang selalu dapat gadis umur lebih tua. Atau muda. Mana-manalah.

Aku bagai adik dia, walau kami sebaya. Aku serumah dengannya dari umur satu. Aku kenal dia siapa. Perangai dia, setiap kerutan dahinya, setiap kerisauannya, setiap masalah hatinya. Terlalu kenal sampai aku tak kenal siapa dia di hati aku. Cuma yang aku tahu hidup aku bergelumang dengan namanya.

Dan sekarang ibu nak rampas kebiasaan tu dari aku? Macam mana mata aku tak bengkak-bengkak tahan tangis!
“Athirah, awak okey ke?”
Aku tersejat dari dunia khayal tadi. Ada Sharifah dari kelas 4 Rahmah tegur aku.
“Okey, okey.”
Telapak tangan yang penuh air, aku sapukan ke muka. Biar rambut aku basah, biar baju kurung putih kapas aku lencun.

Abu kelas lain, dia kelas pandai. 4 Rahmah, sama dengan Sharifah. Sharifah tu pulak gadis yang paling popular kat sekolah. Hah, padanlah tu! Tapi Sharifah tu sebenarnya tak ada kena mengena pun dengan Abu. Aku sebut sebab tadi aku terserempak dengan dia. Herm.

Aku kelas corot. 4 Tawadhuk. Dalam kelas tu, aku seorang je perempuan yang tak pakai tudung. Alah, bukannya wajib pemakaian sekolah. Aku belum sampai seru lagi~! Dulu Abu pernah suruh aku pergi sekolah pakai tudung, sampai dia dah belikan kain tudung untuk aku. Tapi aku masih tak nak. Tak ada hati. Last-last dia yang sarung tudung tu kat kepala dia, nak buat aku ketawa, hiburkan aku.

Sesudah aku duduk kat meja aku, ada contengan kat atasnya, dari Abu.

Rehat nanti tempat biasa.”

Masa terbaik untuk aku beritahu Abu. Aku perlu beritahu hari ni, sebab kata ibu, minggu depan kami pindah keluar dari rumah Abu tu. Lagipun, ibu Abu - Mak Leh, dah kahwin lain, mesti tak nak diganggu.
Aku kira setiap saat untuk sampai waktu rehat. Sampaikan apa Cikgu Habibah ajar pun aku tak concentrate langsung! Bila loceng bunyi pulak, aku orang pertama yang bangun~! Tak malu.

Aku cari Abu di bawah pokok cermai depan kantin. Dalam pada tu, aku cari jugak kekuatan untuk beritahu dia. Aku mesti. Lambat laun kena jugak kan?

“Athirah!”
Tepukan hebat dari belakang buat aku terbangun dari kerusi batu.
“Wei! Kau ni suka terkejutkan akulah!”
Abu ketawa. Eh, ada perempuan di sebelahnya. Aku kenal. Namanya -
“Lisa, awak duduk kejap dengan Athirah ni, saya ambikkan awak air eh?”
Lisa tersenyum manja.

Gugur hati aku. Tertoreh-toreh macam pisau tumpul potong daging lembu korban.

Lisa jugak seperti aku, tak bertudung. Belum sampai seru lagi~! Tapi itu aje persamaan kami. Yang lain, jauh panggang dari api. Lisa cantik, aku - tak. Lisa tak bertepuk sebelah dengan cintanya, aku - selalu. Lisa dapat Abu, aku - dapat habuk!

“Kau betul-betul sayangkan Abu?”
Lisa terbeliak dengarkan soalan dari aku tu. Tapi dia mengangguk.
“Kau janji takkan kecewakan dia?”
Mengangguk lagi.
“Kau dengan Abu dah berapa lama?”
“Em, dari form 2.”
Aku pulak ternganga. Abu tak pernah cerita pasal dia pun! Cilanat.
“Maknanya, kau boleh pegang rahsia ni. Tolong simpankan rahsia ni dari pengetahuan Abu, boleh?”
Lisa merenung aku dengan mata bersalut maskaranya.
“Boleh, rahsia apa?”

Aku tunduk, cari kekuatan lain. Untuk beritahu perempuan yang Abu sayang bahawa aku akan berpisah dengan Abu, lain maksudnya dengan memberitahu Abu sendiri.

“Aku...nak pindah. Pegi jauh dari Abu.”
Lisa tergamam. Ada bunyi gelas jatuh di belakang aku. Serentak aku dan Lisa menoleh.
“Abu!”
Abu tegak tercegat. Dua gelas di tangannya tadi dah makan tanah. Anak matanya pandang tepat aku. Mana aku nak lari~
“Kau...kau nak tinggalkan aku..?”
Aku pandang kasut sekolahnya. Lisa dah jalankan tugas seorang girlfriend. Aku cuma melihat, sebagai kawan. Tapi Abu tetap tak alihkan pandangan dari mata aku.
“Aku nak pindah, Bu. Jauh.”
“Tapi kenapa?!”
Aku terkejut bila Abu tiba-tiba tinggikan suara. Macam sekolah ni bapak dia punya!
“Shh...diamlah. Nanti orang dengar!”
“Kenapa, Tirah?”

Aku tak mampu jawab yang itu. Sebenarnya, permintaan ibu. Tapi aku tau, ibu dapat baca aku yang takkan mampu memiliki Abu. Sebab tu kot ibu ajak pindah? Or sebab -
“Kita dah besar, Bu. Dah akil. Takkan kau tak boleh fikir kenapa?”
Abu cekak pinggang dan raup muka.
“Jangan la pindah jauh sangat kalau ye pun.”
“Kena. Ibu dapat kerja kat KL.”
“KL? ?Kenapalah jauh sangat...?”
Aku jungkit bahu. Tapi sedikit lega sebab dah lepas beban aku dari pagi tadi. Abu pun macam dapat terima dengan baik.
“Tak pelah. Kau tak ada pun, aku boleh hidup, Tirah.”

Tiba-tiba dia cakap macam tu. Dan pergi macam tu je dengan Lisa. Aku ternganga di antara dua gelas yang tumpah tadi.

“Athirah, dah kemas barang semua, nak?”
Aku mengangkat muka. Ibu di muka pintu bilik.
“Dah, bu. Lagi sikit aje. Buku sekolah Tirah.”
“Hah, ni. Nanti kat KL, kita duduk dengan Mak Andak tau. Boleh kau sekolah dekat tempat dia mengajar tu.”
Aku senyum resah, kerana satu - Abu dah mula tak pedulikan aku. Mungkin itu cara dia terima perpindahan aku ni. Dan dua - Mak Andak seorang yang sangat strict. Garang. Kecut perut jugak aku dengar bila ibu kata macam tu tadi.

Tentang Abu tak pedulikan aku, biarlah. Aku pun sibuk mengemas. Cuma yang aku terkilan, hari ini. Hari terakhir aku di Teluk Pahang.

“Abu, kau ada kat dalam tak?”
Tak ada jawapan.
“Abu, bukaklah pintu ni. Aku nak jumpa!”
“Abu tak ada, Tirah. Dia ke padang ibu rasa.”
“Oh, terima kasih Mak Leh.”

Aku cepat-cepat sarung selipar lepas cakap terima kasih dekat ibu Abu. Hujan dah rintik-rintik bila aku sampai kat padang. Alamak, Abu benci hujan. Aku pulak tak bawak payung. Aku nampak Abu di depan tiang gol, dengan 5 biji bola tersusun atur. Lepas satu-satu bola dia tendang. Eh, dia ada game ke hari ni? Tapi kenapa dia pakai seluar panjang, dan tak berjersi pun? Seluar panjang Abu hanya dilipat sampai paras betis saja.
“Abu!!”
Abu buat bodoh. Buat-buat tak dengar. Padahal aku tau dia dengar.
“ABU FARHAH FARUQI!!!”
Abu menendang lagi. Aku mendekati dia. Hujan melebat.
“Abu, hujan ni!”
“Kau peduli apa?!”
Mukanya tak menghadap aku. Tapi aku dan dia sama basahnya.
“Abu, hari ni hari last aku. Tolong jangan macam ni..”
Suara aku tenggelam dek hujan. Aku pencinta hujan, yang tak takut demam. Tapi kenapa hari ni Abu pun macam tu?
“Abu, kau kan tak suka hujan?”
Abu memandang wajah aku. Mendekati. Menjerit.
“Memang aku benci hujan! Benci! Bawak sakit! Buat lambat! Menyusahkan! Hujan tu kau, kan?! Aku benci hujanlah, bodoh!!”
Aku ternganga. Rintik air dari rambut Abu yang memanjang jatuh ke muka aku, yang mendongak pandang dia. Rintik air dari mata aku pulak mula turun, panas. Kontra dengan hujan yang sejuk ni.

Abu menendang bola dengan kuat. Marah. Benci. Teramat.

Aku menangis sendiri. Sangka aku, nak ajak dia main layang-layang sebelum aku betul-betul berpindah. Tapi ini yang jadi.
“Abu, aku takkan lupakan kau, walaupun kau dah ben - ”
Kilat menyabung. Guruh berdentum. Setiap perkataan aku lepas tu terlalu lemah, sampaikan wajah Abu berkerut, cuba mendengar. Tapi aku tak mampu ulang tayang lagi kata-kata aku tu. Biar ia lari dengan kilat dan guruh ni. Aku pulak berlari balik.

Fantasi aku titiknya di situ. Keinginan untuk lihat Abu bawa sekuntum ros merah untuk aku, aku seorang. Cium dahi aku dan cintakan aku sampai bila-bila pun. Haha. Fantasi, kan. Mana mungkin jadi realiti.

Hujan yang nak mencintai bintang. Tapi setiapkali hujan turun, bintang tak ada. Pernah ke korang tengok hujan turun, ada bintang sekali kat langit? Takkan ada.

Tiga belas tahun lepas tu, di kala umur aku mencecah dua sembilan, aku masih lagi terbayang-bayang kan pandangan kosong aku ke jalan bila aku mula memijak lantai lori pindah. Abu tak datang. Abu macam tak pernah ada.
Dia macam tak wujud dalam hidup aku.

Aku mengaku, stetoskop yang tergantung di leher aku ni bukan untuk dengar degupan jantung isi hati Abu. Walaupun kadang-kadang aku berharap begitu. Di mana Abu sekarang ya? Sihat ke dia?

TIT!TIT!TIT!

Kelui aku berbunyi nyaring, sedarkan aku dari anganan di meja sendiri.

911. ER.”

Yang tertera di atas kelui aku perlu aku patuhi, ada pesakit di wad kecemasan. Perempuan, terlantar sejuk berlumur darah di perut. Aku cepat-cepat ke tengah bilik, jalankan tugas sebagai doktor. Perempuan pesakit ni ditembak di bahagian abdomen. Adeh~

“Surgery scheduled in 1 hour!” jerit aku tiba-tiba, bila semua alatan elektrik telah digunakan untuk beri nafas pada wanita ini. Semua, kecuali namanya yang aku tak tahu.

“Siapa nama dia?”
“Data pesakit ada kat nurse station, doktor.”
Berlari aku ke nurse station dan jumpa satu fail coklat yang sedia terletak atas kaunter. Yang perlu korang tau pasal pesakit ni adalah, namanya Fiza. Berumur 28 tahun. Kerja sebagai suri rumah. Status berkahwin. Nama suami -

“Doktor! Isteri saya!”
Aku mendongak. Seorang lelaki umur dua puluh sembilan, baya aku, datang dengan berlari anak. Jantung aku meloncat.
“Isteri saya doktor! Macam mana dia??”
Suaranya separuh menjerit di telinga aku, yang sekaligus membuat aku terpejam dan terimbas memori.
“Sabar encik. Isteri encik dah dijadualkan untuk pembedahan, lagi 45 minit.”
“45 minit?? Kenapa bukan sekarang??”
Aku terpejam lagi. Betapa lelaki ini tidak mengenali aku.
“Kami sedang usahakan untuk diagnos di mana letaknya peluru yang tertimbus tu, encik Abu.”
Abu tertunduk.
“Farhah,” perlahan dia membalas.
“Excuse me?”
“Farhah, nama saya. Tak ada orang panggil saya Abu lagi.”

Jantung aku yang sejak dari tadi terpejam - celik, berdegup - degap lihatkan wajah Abu, kini semakin laju. Salah aku kah dia tak nak pakai lagi nama Abu tu?

“Maaf, encik Farhah. Seperti yang saya kata tadi, kami sedang diagnos di mana letaknya...”
“Saya tak sangka akan jadi macam ni.”
Aku terdiam. Abu masih tunduk, masih tak kenali aku.
“Maksud encik Farhah?”
Abu mendongak memandang aku. Matanya berlinang, tapi enggan turun. Sama dengan hati aku, yang bergoncang, tapi enggan menangis.

Abu mengambil tempat duduk. Wajahnya berkerut, resah. Tapi masih kacak seperti dulu. Cuma kelihatan matang sedikit. Rambutnya yang panjang mencecah leher membuatkan dia kelihatan masih seperti dulu.
Aku ingin saja jerit di mukanya tatkala ini; ABU, AKU RINDUKAN KAU!

“Semuanya salah saya. Saya terlalu banyak berdosa dengan dia. Saya..”
Aku tergumam. Abu dan isteri. Abu sayangkan isterinya -
“Saya tak pernah layan dia dengan baik.”
Setelah ayat itu diungkap, Abu menekup muka. Diam sehingga tiba waktu aku untuk beredar.

*****************************************************************
Bilik bedah yang semakin mengosong. Tinggalkan aku, dan sekujur tubuh Fiza, isteri Abu di atas pelantar besi nan sejuk. Fiza tak mati. Selamat, sebab peluru berjaya dikeluarkan. Keadaannya stabil. Stabil dan kejam terhadap aku.

“Aku inginkan Abu dari dulu lagi. Kenapa orang lain yang selalu dapat?”
Tanpa aku sedar, suara aku sepatah demi sepatah meniti udara. Fiza masih terkujur.
“Aku cintakan Abu dari umur tujuh.”

“Abu! Layang-layang aku putus!”
Aku melutut, gulungan benang di tangan terlepas kerana layang-layang biru milik aku putus di udara. Abu yang di hujung padang menoleh ke arah aku.
“Beli lain la!”
Mata aku bergenang air. Kecewa lihat Abu seronok melayangkan kertas, sedangkan aku dari tadi tak berjaya. Malahan putus pula. Genangan air perlahan mula turun ke pipi. Bukanlah besar pun masalah yang aku hadapi ketika itu, cuma putus layang-layang saja. Tapi entah kenapa aku kecewa dengan diri aku, sebab tak mampu ikut Abu buat apa yang dia mahu. Aku ingin membuntuti Abu ke mana saja. Dia ke padang dengan layang-layang, aku juga buat layang-layang sendiri untuk bermain dengannya. Dia ke padang bola waktu hujan, aku akan bekalkan dua kaki payung. Satu untuk aku, satu untuk dia.
“Nah, jangan nangis lagi.”
Aku mendongak. Abu menghulurkan gulungan benang dari layang-layangnya kepada aku. Saat itu, aku jatuh cinta.

Fiza masih lagi kaku. Kadangkala aku terfikir, siapa Fiza ni? Mana Lisa?
“Abu cinta pertama aku. Sebab dia aku tak berkahwin sampai sekarang, kau tau?!”
Aku tau Fiza tak mampu membalas. Tapi aku jeritkan juga.
“Dia sahabat baik aku, aku tak mampu untuk kehilangan dia. Lepaskanlah dia, Fiza. Aku dah selamatkan nyawa kau..”
Ya Allah. Ampunkan dosaku. Ampunkan niat ku yang terpesong dari akidah seorang doktor Islam ini.
“Aku mungkin bertepuk sebelah tangan, tapi - ”
Aku tak mampu teruskan kata-kata. Sebab aku sendiri tak tahu apa ayat yang patut terbit dari situ. Aku bertepuk sebelah tangan. TITIK. Abu dah berkahwin. Mungkin dah punya anak.

Saat aku berpaling untuk keluar dari bilik bedah, Abu di situ. Berkerut wajah, berlinang air mata.

*****************************************************************

Aku dan cinta pertamaku, diam. Senyap. Aku tak berani lihat mata Abu. Aku juga tak berani bersuara lagi. Abu berdiri di depan aku sejak tadi. Tak berganjak dari bilik bedah yang kelam ini.

“A..Athirah..?”
Serentak suara dan airmatanya turun. Aku mengangguk.
“Ya Allah.” Abu meraup muka. Bercekak pinggang.
“Athirah? Betul ni?”
Aku mengangguk lagi. Air mata kami berjujuran.
Abu melangkah maju setapak. Tangan di depa, seperti ingin peluk, tapi bantut menjadi genggaman erat di bahu aku saja.
“Sejak bila bertudung?”
Aku senyum, dalam menahan tangis.
“Se..sejak..kita..”
“Athirah..Athirah..”
Lemah jantung, longgar lutut aku dengarkan dia sebut nama aku sebegitu.
“Athirah, maafkan...aku.”
Aku menyeka air mata. Masih mendongak untuk tatap wajahnya, dan dia masih menunduk untuk tatap wajah aku. Rambutnya yang panjang masih terurai menutupi muka setiapkali dia menunduk.
“Aku tipu bila aku katakan yang aku boleh hidup tanpa kau.”
Dia bersuara lagi. Aku cuma mendengar.
“Hati aku, pada kau.”
Aku terkaku. Anak mata mencari-cari maksud ayat itu.
“Hati aku, selalu ada pada kau, Tirah. Mana kau menghilang?”
Aku terpejam. Terpejam sekali dengan hujan mata.
“Aku selalu cintakan kau, Abu.”
“Athirah,”

Kali ni, Abu tak teragak-agak mencapai tangan aku dan genggam erat. Biar betul, depan tubuh kaku isteri sendiri.
“Tapi kau dah berkahwin.”
“Tidak. Jangan hukum aku dulu, Tirah. Jangan suruh aku lupakan kau.”
Aku terlongo.
“Tapi, Abu..”
“Fiza dia...dia bukan cinta hati aku. Aku kahwin dengan dia sebab...terpaksa.”
Longoku berubah menjadi beliak mata.
“Aku hanya simpan tempat untuk kau Tirah.”
“Abu, kalau keadaan benarkan, dah lama aku nak beritahu kau isi hati aku ni.”
“Kenapa tak dari dulu, waktu hujan selalu turun? Tentu aku dah cium kau kat situ jugak.”
“Astaghfirullah.”
Abu tertawa kecil, dan menyambung;
“Cium dahi. Sarungkan cincin. Lafazkan akad.”
Aku pula tertawa. Sempat lagi dia bergurau!
“Jadi, Fiza macam mana?”
Abu mengeluh berat memandang tubuh Fiza yang masih terbalut kain biru.
“Dia ditembak ketika aku tak ada,”
“Maksud?”
“Aku ‘hilang’, Athirah. 13 tahun aku ‘hilang’. Sampaikan rumah dirompak pun aku masih lagi ‘hilang’.”
Ya Allah! Genggaman tangan aku terlepas kerana aku menekup mulut.
“Athirah, don’t get me wrong. Aku ‘hilang’ sebab kau tak ada. Aku terpaksa kahwin dengan dia sebab bapak dia yang bantu aku bina syarikat.” Dia mencari kembali tangan aku, tapi tatkala aku rela, mesin denyutan nadi berbunyi nyaring.

Kritikal, dan mencemaskan bilik itu tiba-tiba. Secara refleks, aku menekan butang di kepala katil yang menyebabkan lampu di bilik menjadi merah. Siren membingit. Para doktor dan nurse melaut masuk. Tolak Abu makin kebelakang.

Abu, kau sanggup jual maruah dan cinta hanya kerana nak berjaya?

Athirah, jangan anggap aku macam tu. Aku kehilangan. Aku tak tau pada siapa aku nak bergantung -

Alasan.

Athirah, percayalah. Belum pernah satu saat pun aku lupakan kau.

.....

Kenapa diam, Tirah?

Aku..aku..

Kau Athirahku, aku Abu mu. Jangan lepaskan aku..

“Doktor! Blood pressure menurun!”
Tempikan dari doktor Darwina di muka ku menghentikan dialog fikiran antara aku dan Abu tadi. Walaupun tangan aku pantas membelah memotong, fikiran aku masih pada Abu yang sudah berada di luar bilik.

“It’s liver damage, doktor. We have to find a donor. ASAP.”

Membangunkan aku dari terperanjat, sekaligus doktor Darwina buatkan aku terperanjat lagi. Liver damage..??

“Sana..kat..luar...husband..”
Meluru laju doktor Darwina keluar dari bilik bedah. Yang aku yakin untuk bertemu Abu. Abu, kau dah pilih aku. Jangan ketepikan aku sekarang. Jangan, Abu. Tiga belas tahun kita menunggu.

“Encik, kami perlukan persetujuan dari encik. Isteri encik - ”

Ya Allah, ampunkan lagi niat jahat aku ni. Jauhkan aku dari mengharapkan isterinya tak selamat. Jauhkan aku dari mengharapkan Abu takkan setuju dengan pembedahan ni. Tanpa sedar aku berdiri jarak 2 meter dari doktor Darwina yang sedang bercakap dengan Abu. Tanpa sedar juga, air mata aku berlinang lagi. Kepala aku juga tergeleng-geleng suruh Abu jangan setuju. Mata redup Abu melihat aku, tapi dahinya berkerut.

Tak sanggup menatap mata Abu, sebab buatkan mata aku hujan, aku beredar dari situ. Menangis sepuas hati dalam tandas. Doaku, jangan Abu selamatkan wanita itu. Tapi itu dah menjadikan aku sekejam-kejam manusia. Bila aku dah sedia, aku basuh muka dan melangkah keluar.

“Athirah,”
Terkejut jantung aku bila tiba-tiba haba tubuh Abu mengepung aku. Di depan orang seperti doktor Darwina, Abu mendakap aku.
“Tunggu aku Tirah, aku perlu balas jasa Fiza. Tunggu, aku cintakan kau.”
Aku yang terkaku kerana pelukan erat pertama yang aku terima dari Abu hanya mampu memandang dia masuk ke bilik persediaan pembedahan.

ABU, JANGAN!

Aku mesti, Tirah. Walaupun cinta aku bukan untuk dia, tapi aku mesti balas jasa dia pada aku selama ni. Aku perlu tebus dosa aku.

Esak aku makin kuat bila dialog fikiran antara aku dan Abu memutar lagi. Walaupun Abu sedang dibius dan aku sedang berdiri tegak di luarnya, kami bercakap.

“Tirah, ingat tak dulu-dulu kita panjat pokok rambutan Pak Ali lepas tu dia kejar kita dengan batang kayu?”
“Ingat. Aku jatuh, lepas tu kau tunggu..”
“Mestilah aku tunggu, cinta hati aku.”

“Kau tetap akan tunggu aku kan, Tirah?”
“Sampai bila-bila.”

“Sejak bila kau jatuh cinta kat aku ni, Abu?”
“Sejak dari kali pertama aku lihat kau tunggu aku, dengan payung, setiap hujan.”
“Kenapa kau tak suka hujan?”
“Sebab kau suka.”

“Macam mana kau teruskan hidup tanpa aku, Tirah?”
“Aku tak boleh. Setiap hari aku teringatkan kau.”
“Aku pun.”
“Tapi kau dah berkahwin.”
“Dengan orang yang aku tak cinta.”

“Kau dah ada anak?”
“Tak mungkin. Tapi, kalau dengan kau, aku tak teragak-agak dah.”

“Macam mana, Abu? Sakit tak?”
“Aku kan kena bius. Mana rasa apa-apa.”
“Kalau aku dah sihat nanti, aku nak kau jadi isteri aku, Tirah.”
“Abu,”
“Hm?”
“Macam mana kalau kau tak dapat diselamatkan?”

Dialog ni bukannya aku mereka-reka. Aku betul dapat dengar suara Abu dalam hati aku. Atau itu mungkin cuma delusi. Tapi ya Allah, tolonglah Kau selamatkan Abu.

Aku dah tunggu tiga belas tahun, tunggu lagi 3 jam tidak menyeksakan aku.

Kelui berbunyi.

911. ER.”

Aku bergegas menolak daun pintu ER. Sesuatu terjadi pada Abukah? Selesai cuci lengan, aku masuk ke bilik bedah. Fiza kritikal, aku diminta jahit open-cut di abdomen Abu. Dengan mata yang masih bengkak, aku akur. Wajah Abu yang terlindung dengan banyak wayar dan topeng oksigen nampak biru. Lesu. Sejuk kulitnya.

Tiba-tiba mesin denyutan nadi dari Abu berbunyi nyaring, dan pantas. Aku panik. Semua orang orang pun panik, tapi Fiza masih belum selesai dibedah. Terlalu sikit orang, terlalu suntuk masa.

Abu, jangan pergi. Aku tunggu kau di sini. Jangan pergi!

“350. Clear!”
Tubuh Abu terhentak kuat dek kerana cardiac pump yang aku baru saja tekan di dadanya.
“400. Clear!”
Terhentak lagi. Tapi bunyi nadinya masih nyaring. Garisan lurus muncul di skrin.
“Abu, come on. Stay with me. Jangan tinggalkan aku sekarang.”
Tanpa sedar, dua telapak tangan aku menekan-nekan pusar jantungnya.
“Doktor,”
“Abu, stay with me!”
“Doktor Athirah,”
“Jangan buat aku macam ni Abu. Aku tak sanggup.”
“Doktor!!”
“What?!”
“Announce time of death,”
Aku ternganga. Time of death? Death? Air mata sudah kering aku tangiskan sejak tadi. Abu belum mati! Abu, kau belum mati lagi kan?

“Time of death, 4.15 pm.”
Suara doktor Darwina menampar muka aku. Aku menoleh perlahan sekujur wajah Abu yang biru. Satu demi satu selirat wayar ditanggalkan dari tubuhnya. Satu demi satu juga cinta aku pergi dengannya. ABU, KAU SURUH AKU TUNGGU, TAPI KAU PERGI?!

Dan di wad sebelah, ada bayi lelaki baru lahir.