Dia tersenyum. Sendirian. Tanpa teman. Melihat gambar-gambar nostalgia kekuningan di album berhabuk yang terperuk dalam laci, tak berusik, telah enam belas tahun lamanya. Masih segar malar hijau memori-memori itu terimbas, biarpun dia baru saja kehilangan.
Namanya Sufiy Adawiyah, begitu mulus seperti kulit merah jambunya. Masih ingatkah kau Wiya? Waktu kecil kita dulu, kau satu-satunya perempuan yang mengekori kami, sekumpulan lelaki.
Aku, yang selalu risau, selalu menjagamu, takut-takut kau terluka kerana degilmu. Parut-parut di tubuh aku demi melindungi kau dari tertusuk duri tika kita semua sama-sama meredah hutan buat mengail keli di sungai. Aku jatuh cinta padamu Wiya, sejak pandang pertama. Ketika itu aku darjah satu. Senyumanmu Wiya, masuk ke dalam mimpi-mimpi aku.
Betapa aku berlagak dewasa untukmu. Kelakar bila terkenangkan aku mengumpul duit untuk membeli hadiah buku nota buatmu. Buku nota yang cuma 50 sen, tapi kau guna sehingga tamat penggal sekolah. Kita akan berebut tempat di kantin, dan aku akhirnya biarkan kau menang. Kerana kau memang menang di hati aku.
Aku tahu cinta zaman kanak-kanak itu bodoh. Tapi aku masih mencintaimu sehingga kini. Kau membesar dengan cantik, sedang aku tak layak disisimu. Aku tak kacak seperti Mansor, anak pengerusi PIBG di sekolah. Aku tak kaya seperti Azizul. Aku Zafran. Hanya Zafran bin Aidil.
Sekolah menengah kita terpisah di tingkatan empat. Kau dapat tawaran ke MRSM Beseri. Berseri-seri sungguh mukamu bila kau tunjukkan pada aku surat tawaran tu. Aku harap kau pulang membawa kejayaan, Wiya.
Sejak ketiadaanmu, aku hilang. Aku tak tahu siapa aku. Aku cuba untuk belajar, tapi aku gagal. Wiya, kau masih ingat tak, aku datang ke MRSM Beseri untuk melawat kau? Aku rasa kecil, meskipun aku lebih tinggi darimu. Kau sangat terpelajar. Dengan spek matamu yang menampakkan kau lebih pandai dari biasa. Aku masih terkapai-kapai. Tapi matlamatku ingin semenara gading dengan mu.
Aku, yang tak punya apa, aku - Zafran bin Aidil berjaya masuk ke UiTM.
Tapi kau...
“Jemputan Perkahwinan, Adawiyah & Riza.”
Wiya, kau tahu tak betapa luruh jantung aku bila menerima kad jemputan itu sementelah aku sibuk menghadapi peperiksaan? Wiya, kau di mana? Kau hilang Wiya. Takkan kau tak nampak cinta yang sarat di mataku ini, tiapkali aku merenungmu?
Aku tak sampai hati menghadiri majlismu itu. Aku menangis di ceruk dinding sehingga ibu ingatkan aku pengemis sesat yang masuk kerumah.
Sufiy Adawiyah, patutkah aku padamkan semuanya, dan mulakan garisan hidup baru?
Zafran Aidil.
Dia melipat surat yang terselit di celah-celah album itu. Air matanya yang laju bagaikan air terjun membasahi surat yang kekuningan itu. Surat itu bertarikh 21-2-2008. Tarikh pernikahannya. Teresak-esak dia menangis.
“Melia, yang dah pergi tu biarkan pergi. Buat apa nangis-nangis lagi..”
Sufiy Amelia memandang kakaknya, Sufiy Adawiyah dengan tajam.