Begitu kakunya gadis kecintaan Andi di atas katil petak hijau. Andi ingin tolong dia tapi Andi tak mampu. Andi menjerit tapi tak ada yang dengar. Sudah biru muka gadis ini, sebab kali ketiga cubaan mencabut nyawa. Andi mampu berdiri di tepi Mika, tapi tak reti beritahu yang dia sebenarnya ada – tak pernah hilang. Andi mampu berjalan di sisi cerdik pandai berkot putih yang selalu beri Mika jarum. Yang selalu beri Mika udara. Tapi Andi tak reti beritahu yang dia tak hilang. Seperti yang Mika sangka.
Malam itu. Kali pertama mata pisau dapur yang tajam mencecah gelangan tangan Mika. Andi menjerit, Mika juga menjerit. Sama-sama jerit. Siapa yang dengar?
“Mika, jangan!”
“Aghhhh..!!!”
Andi tahu Mika sakit, sebab pergelangannya berlumur darah tumpah ke lantai.
“Mika, aku tak pergi! Aku ada di sini!”
Mika tak dengar, sayu-sayu Mika menangis.
“Andi, tunggu di situ. Aku hampir..hampir sampai..”
Jatuh air mata lelaki Andi ketika itu.
Dia berlari ke gagang biru yang paling dekat. Tapi itulah kelemahannya. Andi tak mampu sentuh ia. Tak mampu pegang apa-apa.
“Mika!! Abang! Cepat bang! Telefon ambulans bang!!”
Nasib baik ada Cherry. Selamatkan dia, kak. Andi tak nak dia mati.
Tapi kenapa dia belum bangun lagi sampai sekarang? Dia tak mahu lihat wajah Andi yang setia itu? Atau dia tak mahu lihat wajah sendiri yang biru? Andi menekup muka. Mika enggan untuk bangun.
“Mika?”
Andi menoleh. Cherry ada disebelah, dengan anak kecil. Lama Andi tak melihat wajah anak itu. Anak buahnya.
“Kakak, tolong kejutkan Mika. Dah lama dia tidur. Dari kelmarin.”
“Mika?”
Cherry tak pedulikan Andi di tepinya. Ariana – anak buahnya – menangis pandang wajah Andi.
“Maaf Ariana. Uncle nampak hodoh kan? Dah banyak uncle menangis.” Sambil senyum Andi memujuk anak itu.
Ariana makin menangis. Makin kuat. Semakin lama semakin kuat.
“Shh...Ariana, kenapa ni? Sedih tengok aunty Mika ke?”
Ariana semakin hebat menangis.
“Mika, bangun sayang. Ariana kesiankan kita.”
“Andi, jangan pergi Andi. Aku tak nak kehilangan kau.”
Andi tersenyum.
“Tak lama pun aku pergi. Kalau keadaan kat sana dah agak tenang, aku hantar surat ya, sayang?”
“Jangan Andi.”
“Restu aku pergi, Mika. Ini tugas aku.”
“Tak ada orang lain ke yang boleh gantikan kau?”
“Mika, restu aku pergi, tolong?”
Air mata Mika jatuh. Tak jernih. Bercampur warna solekan matanya. Andi laju-laju tarik Mika dalam pelukan. Hangat. Tapi perpisahan ini yang sejuk.
“Aku cinta kau , Mika. Hidup dengan itu.”
Mika senyum dalam dada Andi. Tapi basah kerana airmata hitamnya tercalit sedikit di baju hijau Andi.
Jip sudah menekan hon berkali-kali. Andi menabik sebentar pada jip itu. Dalamnya, ada 3 lagi yang berbaju sama dengan Andi.
“Ben pun pergi?”
Andi mengangguk tanyaan Mika itu.
“Ben dah Mejar. Jadi dia kena pergi. Aku cuma leftenan.”
“Leftenan Andi, pulang dengan selamat ya?”
Andi mengangguk-angguk. Dia tak mahu tinggalkan gadis ini. Yang baru sebulan dikahwini. Tapi dia terpaksa.
Aku masih cintakan kau, Mika. Bangunlah. Andi merayu melutut. Tapi hanya Ariana yang nampak itu semua.
“Doc!! Doc!!”
Andi mengangkat muka. Cherry meluru keluar dari bilik sakit ini. Bunyi nyaring panjang mendesak Andi untuk cemas. Mendesak Cherry untuk keluar begitu.
“Mika! Mika! Jangan mati Mika!! MIKA!!”
Kalaulah Mika dapat dengar.
Perkara pertama yang Mika buat setiap pagi, Mika buat lagi hari ini. Tapi hari ni berbeza, sebab dia tak masuk ke rumah dengan tangan kosong.
“Cherry! Cherry! Ada surat dari Andi!”
Cherry menjenguk dari dapur dengan senyum.
“Bacakan kuat-kuat, Mika.”
“Ehem, ehem. Dengar ya. Kehadapan Mika yang aku cinta.”
Merah pipi Mika tiba-tiba.
“Aku di sini sihat saja. Jangan kau risaukan aku. Aku baru balik dari kem 2 di Kubu Besar. Pengganas dah surut. Semua takutkan kami. Tengoklah Leftenannya siapa!”
Cherry ketawa, Mika juga.
“Aku ada berita baik. Esok aku pulang. Aku tak pasti surat ini sampai ke tangan kau bila, tapi aku akan pulang esoknya. Percayalah.”
Cherry mulai bising. Sibuk menyenarai masakan kegemaran adik lelakinya.
“Tapi, sementara aku masih belum pulang, kau jagakan Cherry dan Ariana elok-elok ya.”
Cherry terharu, dan terus berlari ke dapur.
“Mika, aku cintakan kau. Hidup dengan itu. Yang mencintai, Andi.”
Airmata Mika jatuh lagi. Kali ini jernih warnanya. Airmata tak sabar menunggu pulangnya Andi ke rumah.
“Hai Andi.”
Andi menoleh. Cemasnya tadi tiba-tiba hilang. Mika muncul di belakangnya.
“Mi..Mika? Kau..macam mana..?”
“Kan aku suruh tunggu. Aku hampir sampai.”
Andi tak dapat menahan diri dari memeluk gadis ini. Buat kali pertama, dia boleh.
“Mika aku rindukan kau, kau tau tak?”
“Aku cintakan kau Andi.”
Bibir Andi mulai bertemu Mika. Airmata turun laju. Seakan hujan.
“Aku masih simpan surat kau Andi.”
Andi mengangguk, memeluk lagi.
“250! Ready?!”
Andi terpinga. Tubuh gadis biru yang masih terbaring di katil hijau kini sedang usaha diselamatkan. Tapi Mika dah bangun ni, ada di sisi dia.
“Mika, sabarlah. Kejap lagi sampailah dia.”
Mika tak senang duduk. Surat berdakwat hitam sudah keronyot setiapkali dia bangun mundar-mandir. Setiapkali menyedari, Mika luruskan semula surat itu.
“Mika, kakak peninglah tengok Mika ni.”
“Cherry, dalam surat ni kata dia balik hari ni kan? Dah nak masuk esok dah ni, kak.”
Cherry pandang jarum jam. Dah esok dah pun.
“Dia bukan balik dari tempat dekat. Mungkin delay kut. Tadi kan hujan lebat.”
Mika menggigit kukunya. Itu kuku terakhir. Yang lain semua sudah pendek digigit sejak petang tadi.
Mika cuba bertenang. Tapi tiba-tiba ada ketukan pintu, bertalu-talu.
Kedua-dua Mika dan Cherry terkuntum senyum. Andi, hero keluarga, dah pulang! Laju-laju Mika buka tombol pintu.
Tapi bukan Andi.
“Ben?”
“Maaf mengganggu Mika, Cherry. Andi..”
“Kenapa dengan Andi?”
Ben menurunkan topi askarnya, ke dada.
“KENAPA DENGAN ANDI, BEN?!!”
Mika mulai histerikal. Ben tak mampu bercakap apa lagi.
“MANA DIA? MANA ANDI, BEN?!!”
“Andi dia..”
“Mika, bawak bersabar, Mika..”
“Andi terkorban – “
“ANDI!!!!!!!!”
Hampir serak suara Cherry menjerit memanggil nama Mika dalam wad hijau itu. Mika tetap tak bangun-bangun. Andi pegang erat-erat tangan Mika. Dia tak mahu lepaskan lagi. Mika senyum melihat doktor menekan-nekan dadanya dengan platlet besi yang sejuk. Dan elektrikal.
“350! Ready?!”
“Tapi, doc, bahaya tu!”
“Saya tak kira! Bayi dalam kandungan dia mesti diselamatkan!”
Andi terlopong. Suara doktor yang cemas, suara Cherry yang menjerit jadi - hilang. Mika juga ikut terlopong sama.
“Mika? Anak..kita..?”
Mika menangis. Cuba memeluk Andi tapi Andi keras melarang.
“Mika, kau mengandung??”
Mika terangguk dalam esak.
“Tapi kau cuba bunuh diri?!”
“Aku nak ikut kau! Aku nak bersama dengan kau!”
“Mika, dengar sini. Anak tu tak bersalah. Beri dia hidup, Mika. Anak tu, anak aku. Anak kita.”
“Tapi Andi! Aku tak boleh hidup tanpa kau!”
“Boleh, Mika! Kau boleh! Sebab kau masih ada sebahagian dari diri aku dalam perut kau. Dalam ni.” Andi menyentuh perut Mika yang masih kempis.
“Jangan balas dendam pada benih aku, Mika.”
Mika memandang tubuhnya yang sedang kuat diselamatkan.
“Aku cinta kau. Hidup dengan itu. Hidup dengan anak kita ni.”
“Andi, tunggu aku. Aku cinta kau seorang, sampai bila-bila.”
Andi mengangguk. Erat genggamannya pada telapak tangan Mika perlahan-lahan terlepas.
Bunyi nyaring tadi dah tiada. Bunyi baru muncul tiba-tiba dari sudut kiri katil hijau Mika. Mika terbatuk. Doktor menarik nafas. Nadi Mika muncul kembali. Nyawa Mika diletak kembali. Sebahagian diri Andi menendang kembali.
Mika membuka mata. Cherry tersenyum pada dia, tapi basah menangis. Mika menoleh ke kanan. Tempat dia dan Andi bertemu tadi. Airmatanya turun menimpa bantal. Di situ hanya ada kerusi kosong.
No comments:
Post a Comment