Malam sedang hujan. Aku masih lagi berdiri di tingkap sejuk, memerhati rintiknya menendang-nendang kaca. Sudah larut, dan pekat tapi aku masih lagi di sini. Berdiri. Mata merahku masih tak mau tertutup.
Kau ada di sini juga ke?
Aku dah agak, kerana dari tadi aku dapat rasa hangat nafas milik kau di belakangku.
Beritahu aku sesuatu, bagaimana rasanya berpisah dengan aku? Bagaimana rasanya terputus cinta di saat kau ingin nyatakannya?
Hujan semakin likat, biarpun guruh menyapanya suruh berhenti. Aku juga pernah menyapanya untuk berhenti, kerana aku tau. Kau takutkan hujan. Selalu kau rungutkan, hujan mengganggu menghalang semua. Kau bencikan payung.
Tapi apalah hujan boleh dengar. Di mana telinganya? Apalah hujan boleh nampak aku, yang setiap larut berdiri di sini. Berbual dengan kau. Tentang semua perkara.
Aku cuma pemerhati di sini, sayang. Kekasihku.
Jarang aku berkata-kata. Suaraku untuk kau seorang. Janji setiap malam kau mau mendengar ia. Janji setiap malam hujan. Biar kau berteduh di belakangku. Memeluk aku yang kedinginan.
Sayang, kau masih ingat pada Xyly? Lucu namanya, kerana tak ada langsung huruf vokal di situ. Mungkin kita patut namakan dia Konsonan.
Xyly di sisi aku juga sekarang. Tapi dia diam. Tak seperti kau yang banyak bercakap-cakap. Aku seakan menangis melihat dia. Dia rindukan kau, pergilah bermanja dengannya.
Jangan sedih lihat aku, sayang. Ini angkara orang yang tak percayakan cinta. Angkara orang yang tak pernah rasai cinta agung. Macam cinta kita.
Jangan menangis lihat aku. Jangan. Pasungan tangan ini cuma sementara. Sedang kau sendiri tahu aku masih boleh memegang wajahmu. Dalam memori. Aku boleh menang di sini, sayang. Ramai lagi orang seperti aku di sini. Ramai lagi orang yang percayakan aku, percayakan cinta.
Hari ini sebagai misal, aku jumpa sorang nenek yang percaya. Dia mengangguk-angguk pada aku. Dia percayakan aku. Dia tak sekejam dunia. Aku duduk di sebelahnya tadi. Berdua berpasung tangan. Mungkin dia kematian suami.
Tak apa. Aku percayakan dia.
Aku ingin dengar kau sebut nama aku lagi sayang.
“Maia..”
Seakan lama dulu, sewaktu baru kita jumpa.
Sewaktu aku ketawa di tengah-tengah hujan, dan kau bencikan hujan itu.
Sewaktu aku menjadi milik kau.
Sewaktu kau ingin lafazkan cinta tapi tak sampai.
Aku benci dia. Aku sumpah dia.
Dia yang ambil kau dari aku. Aku bunuh dia. Aku bunuh aku. Aku bunuh kita. Aku bunuh Xyly. Aku bunuh masa yang tak dapat betulkan silap kita. Sayang, adakah aku berdosa? Tanyakan itu pada Tuhan nanti, tolong.
Hari dah pagi. Kau dah pergi. Aku masih juga terpasung di sini.
“Pesakit AQ453.”
Ada cahaya masuk, menusuk mata aku. Hujan dah berhenti.
“Bodoh, kau lupa pasang kat kaki dia lagi ke?!”
“Eh, aku pasanglah malam tadi!”
“Dah tu macam mana dia boleh berdiri kat tingkap tu balik?!”
“Dia..dia..dah pandai bukak sendiri ke??”
“Tapi, tangan dia terikat macam mana dia nak bukak?”
“Hantu dia tolong kut?”
“Bodoh, kau nak jadi macam dia ke?”
Sayang, lepaskan aku. Aku dalam sangkar yang tak percayakan cinta.
No comments:
Post a Comment